Isnin, 18 Mei 2009

Program SPIES dapat sambutan menggalakkan

Program SPIES yang pertama anjuran Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Program dua hari satu malam di Kalumpang Resort, Hulu Selangor itu dihadiri hampir 100 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri Taman Medan.
Pada program itu, pelajar berumur 16 dan 17 tahun didedahkan dengan pelbagai kaedah pembelajaran, pemakanan serta adab-adab murni seorang insan.
SPIES atau Spiritual, Physical, Intellectual, Emotional dan Social diperkenalkan oleh Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali, tahun lalu dengan menekankan pentingnya pembangunan modal insan di kalangan pelajar.
Pengurus Pemantau SPIES, Mohamad Firdaus Ariffin berkata peserta yang dipilih mengikuti program ini terdiri daripada pelajar Pusat Tuisyen Rakyat dan anak angkat Dr Halimah.
Menurutnya, modul yang digunakan oleh pihak konsultan menitikberatkan soal tanggungjawab dan amanah seorang pelajar untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.
Program ini dirasmikan oleh Dr Halimah dan ditutup oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Haniza Mohamad Talha yang juga ADUN Taman Medan.
Sementara itu, peserta yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana dapat berinteraksi dengan rakan-rakan baru serta didedahkan pelbagai pengetahuan yang sangat berguna.
Mohd Nasirwan Kamaruddin, 16 tahun yang menyertai program anak angkat Dr Halimah berkata, program itu memberi banyak pendedahan mengenai pergaulan dan mengenali ramai rakan-rakan baru.
Izza Atira, 16 tahun berpendapat pendedahan yang diberi itu dapat mengukuhkan jati diri peserta untuk menghadapi cabaran hidup yang lebih getir pada masa akan datang.
Che Munira Che Man, 17 tahun pula berasa lebih yakin setelah diajar tentang pengurusan masa serta ibadat dalam kehidupan seharian.
Norumairah Sutrisnor, 17 tahun berasa sangat seronok dan berharap dapat mengikuti lagi program pemantapan yang akan dianjurkan pada masa akan datang.
Khairul Akmar Khairuddin, 17 tahun yang dipilih sebagai penghulu program sulung ini berpendapat, pengajaran sepanjang sesi ini banyak membantu peserta untuk memperkemaskan diri sebagai pelajar dan generasi yang sempurna dan berguna kepada masyarakat.

Tiada ulasan: