SINAR HARIAN 15 MEI 2009:BATU 30 – Kenyataan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali yang menyentuh sikap tidak prihatin Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu 30 dibidas keras individu terbabit. Adnan Jamaludin yang ditemui berkata, dia kesal dengan kenyataan itu yang seolah-olah memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab beliau. “Saya kesal dengan sikap wakil rakyat yang seakan memperkecil peranan saya sebagai ketua kampung. “Saya nyatakan perkara ini bukan mahu menyalahkan atau bangkitkan permusuhan terhadap beliau, tapi sebagai wakil rakyat beliau perlu lebih profesional dan tidak menyentuh sentimen politik dalam hal membantu rakyat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam. Adnan berkata, sebagai ketua dia menjalankan tugas sebaiknya dan jika disentuh soal tidak prihatin dengan penduduk kampung, perkara itu tidak berasas sama sekali kerana dia mampu buktikan bahawa segala tugas dan tanggungjawab yang diberikan telah dilaksanakan sepenuhnya. Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim yang menyatakan sikap tidak prihatin JKKK dalam membantu mangsa banjir kawasan berkenaan. Dalam laporan Sinar Harian keluaran 13 Mei lalu, Mohd Isa menyebut ada menerima aduan daripada penduduk iaitu mangsa banjir yang berlaku di sini baru-baru ini, mengatakan mereka tidak pernah menerima sebarang bantuan sesiapa pun selepas kediaman mereka dilanda banjir. Dalam kenyataannya lagi, Mohd Isa menegaskan penduduk datang sendiri ke pejabatnya memaklumkan perkara itu dan memberitahu bantuan tidak dihulur meskipun sudah dimaklumkan kepada JKKK. Sementara itu, Adnan berkata, soal permohonan penduduk atau mangsa banjir yang dikatakan tertanya-tanya bantuan yang tidak dihulur walaupun nama mereka sudah disenaraikan, Adnan berkata, perkara itu tidak timbul. Menurutnya, penduduk sendiri datang kepadanya dan menyatakan mereka tidak memerlukan bantuan setiap kali berlaku banjir tetapi apa yang penting adalah penyelesaian terhadap permasalahan yang menjadi punca banjir. “Saya telah laksanakan segala yang terbaik untuk penduduk di sini termasuk mengemukakan kertas kerja kepada Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Perairan dan Saliran serta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perhatian. “Dalam kertas kerja tersebut, saya sertakan beberapa lokasi bermasalah yang menjadi punca berlakunya banjir di kawasan ini. “Harapan saya dengan adanya cadangan itu, pihak berkenaan dapat melihat sendiri keadaan itu dan tampil untuk menyelesaikannya,” katanya. Dalam pada itu, Adnan menyatakan kekesalannya dengan tindakan pihak tertentu yang melaksanakan dua projek pembaikan sistem saliran di kawasan itu yang disifatkannya sebagai satu pembaziran yang nyata. Menurutnya, pelbagai lagi cara untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu termasuk melebarkan sungai dan memperbaiki sistem pembetungan dan bukan dengan memasang benteng konkrit kecil yang dilihat seakan usaha melepas batuk di tangga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan