Isnin, 4 Mei 2009

EXCO Dr Halimah: Kerajaan Negeri Perkenal Program Tunas Ilmuan

SHAH ALAM, 3 Mei - Program Tunas Ilmuan yang dianjurkan Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan antara usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai pusat melahirkan ilmuan dan cendekiawan dalam pelbagai bidang.
Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, Dr Halimah Ali berkata program itu baru diperkenalkan di negeri ini dan merupakan sub Program Jejak Ilmuan yang telah dilancarkan pada Ogos tahun lepas.
“Program ini merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi mencari bakat ilmuan yang ada di negeri ini sejak di awal persekolahan lagi,” katanya yang mahu mencari bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan.
Dr Halimah berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Program Tunas Ilmuan dan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2008 di Wisma PKPS, di sini petang tadi.
Menurutnya, antara objektif utama program berkenaan bagi meningkatkan motivasi pelajar SPM 2009 sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan yang akan datang melalui perkongsian tips kejayaan dari pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan.
“Program hari ini dilaksanakan dengan penampilan istimewa Nur Madihah, pelajar terbaik SPM kebangsaan 2008 dan sedikit sesi motivasi dari konsultan yang menguruskan program hari ini,” katanya yang akan memperkenalkan program Tunas Ilmuan di peringkat kebangsaan kepada warga Selangor dan pengenalan program itu juga akan dilaksanakan di seluruh Selangor.
Terdahulu dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada enam pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 negeri Selangor.
Dua pelajar terbaik bagi peringkat negeri Selangor dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan.
Mereka ialah Lim Shiu Yong dan Tan Chin Huat di mana masing-masing mendapat 16 A1.
Manakala empat lagi bagi peringkat sekolah kerajaan negeri di mana masing-masing memperolehi 12 A1.
Mereka ialah Mohd Shazwan Adzhar, Nur Daleela Mohd Azlan, Nur Khairani Tajuddin dan Salha Mohd Fadil. Turut hadir pada dalam majlis itu, pelajar cemerlang SPM peringkat kebangsaan 2008, Nik Madihah Nik Mohd Kamal bersama kedua ibu bapanya, Nik Kamal Mohd Husin dan Mariyani Omar.
Madihah yang dijemput khas turut berkongsi rahsia kejayaannya kepada pelajar-pelajar dari sekolah kerajaaan negeri, Yayasan Selangor serta pelajar dan guru -guru dari sekolah sekitar Shah Alam.
Beliau yang mendapat 20 A dalam peperiksaan SPM tahun lalu turut menerima anugerah khas dari kerajaan negeri Selangor. - MURIZA ABDUL HAMID

Tiada ulasan: