SERENDAH – Penduduk Desa Melur di sini yang terlibat dengan ancaman tanah runtuh kini mampu menarik nafas lega apabila Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja menstabilkan cerun. Ketua Unit Geologi Ikram, Mohd Fadlee Baba berkata, tindakan segera akan diambil untuk menstabilkan cerun setinggi 180 meter di situ namun ia bergantung kepada bila peruntukan yang disediakan dapat disalurkan. “Setelah pemantauan dan kajian dilakukan akhirnya Ikram berjaya menemukan beberapa kaedah penyelesaian terhadap permasalahan itu. “Penyelesaian itu mengambil kira faktor jangka masa pendek dan panjang serta kesediaan kerajaan negeri dalam menyalurkan peruntukan mengikut bajet atau kos keseluruhan kerja itu,” katanya ketika memberi taklimat pada majlis penyampaian sumbangan kepada 33 mangsa terlibat di Dewan Komuniti Desa Melur di sini. Sesi taklimat itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Hulu Selangor yang juga Pegawai Daerah, Nor Hisham Dahlan, Yang Dipertua Majlis daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Anuar Ali. Fadlee berkata, daripada 11 pemantauan dilakukan hanya sedikit sahaja pergerakan tanah dapat dikesan, tetapi menurutnya jika hujan berkemungkinan pergerakan berlaku lebih tinggi. “Justeru, kami mengemukakan satu kaedah jangka pendek iaitu dengan membaik pulih sistem perparitan, menutup cerun yang di klasifikasi sebagai ‘tension crack’ dengan segera serta melaksanakan penyelenggaraan berskala. “Kedua ialah untuk jangka masa panjang dengan menanam tembok sedalam enam meter dari cerun terbabit. “Bagaimanapun, kami tak boleh memberi jaminan kaedah penyelenggaraan tersebut bertahan sampai bila tetapi ia adalah untuk jangka masa panjang dan bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya. Menurut beliau, sebaik peruntukan dapat disalurkan pihaknya akan melaksanakan kerja pembaikpulihan itu dalam tempoh enam bulan dan Ikram akan berada di kawasan tersebut sepanjang masa semasa proses baik pulih berkenaan. Sementara itu katanya, MDHS akan melaksanakan penyelenggaraan kawasan berkenaan setiap bulan sepanjang kerja dilakukan. Fadlee berkata, hasil kajiannya juga mendapati taman perumahan di kawasan itu merupakan kawasan lembah dan dikelilingi bukit bukau. Menurutnya, pemaju terdahulu menggunakan konsep memotong dan menambak bukit seperti kebiasaan pemaju lainnya lakukan. Namun katanya, cerun di kawasan itu amat luar biasa memandangkan ia dibina setinggi 180 meter dan keadaan itu memerlukan ia diselenggara lebih kerap dan berterusan.
BULETINRAKYAT: Pihak berkuasa tempatan seharusnya memberitahu tentang projek menebang balak yang berlaku di atas bukit yang menjadi punca kejadian tanah runtuh, jangan berselindung di balik kejadian dan usaha pembaikan, mesti dicari punca-punca nya untuk jangkamasa dan keselamatan penduduk setempat. Mungkin kejadian yang menjadi berita di halaman utama akhbar (termasuk di tanah runtuh di Hulu Yam) masih tidak membuka mata pihak berkuasa tentang semua kelulusan tanah yang telah diberikan kepada individu atau syarikat tertentu di masa 5 tahun yang lepas.. Satu penyelesaian secara "total" harus dijalankan oleh pihak berkuasa, jangan sampai ada lagi tanah runtuh dan nyawa yang melayang baru hendak di buat kajian..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan