Selasa, 24 Februari 2009

Selangor Mahu Rakyat Terus Dapat Air Percuma

Ahad, 22 February 2009
PUCHONG, 22 Februari - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) telah membuat satu kesilapan besar kerana memutuskan untuk mengambilalih perbincangan mengenai pembelian konsesi air daripada kerajaan negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan empat syarikat konsesi yang ditawarkan dengan RM5.9 bilion bagi pengambilalihan itu, tidak dapat memberi jawapan yang tegas kepada tawaran kerajaan negeri memandangkan ada pihak lain yang memberi tawaran baru.
Bagaimanapun kata Abdul Khalid kerajaan negeri sedia membenarkan kerajaan pusat melalui Span meneruskan rundingan berkenaan jika tidak berlaku kenaikan air bermula 31 Mac ini dan kerajaan negeri akan terus memberi air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat Selangor.
Abdul Khalid juga berharap kerajaan pusat tidak menawarkan harga yang lebih daripada tawaran yang dibuat kerajaan negeri kepada syarikat konsesi berkenaan.
“Jadi kalau kerajaan persekutuan ingin mengambilalih rundingan kerana hendak membeli syarikat konsesi, kerajaan negeri Selangor tidak akan menerima jika rakyat negeri ini mendapat kenaikan harga air dan kedua tidak mendapat 20 meter padu air percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Ming, dekat sini petang ini. - NOOR ALLIA KASSIM

Tiada ulasan: