Khamis, 12 Februari 2009

Kerajaan Negeri Sudah Bersedia Struktur Semula Industri Air

SHAH ALAM, 11 Februari - Kerajaan negeri sudah bersedia membuat tawaran sebutharga untuk mengambil alih aset dan ekuiti yang dimiliki empat syarikat konsesi air bagi melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan surat kepada empat syarikat berkenaan; Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syarikat Pengeluaran Air Selangor Holdings Berhad (SPLASH) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam masa dua hari.

Abdul Khalid berkata tawaran yang dibuat kepada semua syarikat konsesi berkenaan adalah berpatutan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Katanya, ia juga tidak merugikan mana-mana pihak selain kadar keuntungan yang diberi kepada syarikat tersebut amat munasabah.

“Sebelum membuat keputusan ini, kerajaan negeri melalui panel khas yang ditubuhkan untuk mengkaji proses penyusunan semula industri air di Selangor telah membuat kajian terperinci dalam penilaian dan pengiraan nilai aset dan ekuiti semua syarikat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) petang tadi.

Kerajaan negeri berharap tawaran itu akan dipersetujui agar proses penstrukturan semula yang sudah berlangsung sejak enam bulan lalu itu dapat dilaksanakan sebelum 31 Mac ini seperti yang ditetapkan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Kerjasama semua pihak boleh mengelakkan kenaikan tarif air yang sudah tentunya akan membebankan rakyat lebih-lebih lagi sewaktu keadaan ekonomi meruncing ketika ini,” katanya.
Menyedari penstrukturan semula itu melibatkan kepentingan rakyat, Abdul Khalid berkata Pejabat Menteri Besar akan mengadakan satu taklimat kepada orang ramai pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Katanya, taklimat berkenaan bertujuan memberi penjelasan mengenai latar belakang proses penstruturan semula itu dan hala tujunya.
Beliau berkata kerajaan negeri serius dalam memastikan rancangan penstrukturan itu dapat dilaksanakan dengan baik bagi faedah rakyat.

Tiada ulasan: