Rabu, 4 Februari 2009

Berita Sinar harian 4 Feb 2009 - Peserta terima manfaat

Noryah Sarman
AMPANG PECAH – Seminar Pengembangan Ekonomi Desa yang diadakan di Kem Bina Insan dekat sini memberi pendedahan kepada usahawan mengenai teknik pengurusan moden dan pemahaman kepa-da proses kerja lebih teratur. Seminar anjuran Biro Pertanian dan Industri Asas Tani Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Hulu Selangor itu disertai hampir 200 peserta yang terdiri usahawan sekitar daerah ini. Seorang peserta, Noryah Sarman ,54, berkata, seminar sehari itu memberi banyak pendedahan kepadanya mengenai teknik pengurusan dan peluang yang disediakan kerajaan negeri. “Saya hadir sememangnya untuk menambah sebanyak mungkin pengetahuan mengenai perniagaan disamping mengetahui peluang-peluang yang ditawarkan oleh kerajaan negeri dalam membantu usahawan mengembangkan usaha yang dijalankan. “Walaupun saya hanya berniaga secara kecil-kecilan, tetapi diharapkan daripada penglibatan dalam seminar ini akan membuka lebih banyak peluang kepada saya untuk memajukan perniagaan,” katanya yang mengusahakan pemprosesan ayam dan produk beku sejak dua tahun lalu. Sebagai ibu tunggal yang masih menyara dua anak katanya, dia bercadang mengalihkan perniagaan kepada bidang solekan sebagai usaha sampingan dengan mendapatkan modal melalui peruntukan disediakan kerajaan. Sementara itu bagi Shahrul Shukry Shaari ,43, penyertaannya dalam seminar itu dapat membuka mata dan memberi pendedahan yang sememangnya tersedia yang selama ini tidak pernah difikirkan. “Kehadiran saya dalam seminar ini memberi pendedahan bahawa ada peluang baik menanti nelayan sepenuh masa seperti saya. “Tanpa disangka rupa-rupanya masa depan kami sekeluarga akan lebih cerah sekiranya cadangan kerajaan negeri membangunkan kawasan tepi sungai di sepanjang Sungai Bernam terlaksana. Peluangnya apabila saya ditawarkan menjadi pemandu pelancong setelah projek itu dapat direalisasikan kelak,” katanya. Menurutnya, peluang yang ditawarkan tidak akan disia-siakan dan dia juga berharap lebih ramai masyarakat yang akan memperoleh manfaat daripada pelaksanaan projek itu sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi masyarakat desa. Dalam pada itu, seorang pengusaha serai di Kerling, Zulpadzle Ismail ,48, berkata, penyertaannya dalam seminar itu bertujuan melontarkan idea yang dimiliki untuk manfaat bersama. "Saya mencadangkan supaya kerajaan negeri memberi peluang kepada pengusaha kecil dan sederhana untuk memanfaatkan beberapa kawasan terbiar di daerah ini untuk projek jangka pendek," katanya. Zulpadzle berkata, terdapat beberapa kawasan terbiar yang boleh diusahakan untuk pertanian jangka pendek yang mampu memberi pulangan kepada masyarakat. “Saya mencadangkan supaya kawasan itu dibangunkan dan dibuka kepada petani yang berminat kerana saya melihat semakin ramai individu yang meminati usaha jangka pendek. “Mereka menggunakan platform itu untuk menimba pengalaman sebelum dapat mengusahakan usaha yang lebih besar di kawasan lain,” katanya. Menurutnya, zaman sekarang adalah era maklumat dan bukannya industri, justeru idea-idea yang dimiliki oleh pemikir boleh digunakan untuk manfaat orang ramai.

Tiada ulasan: