JOHOR BAHRU: Bahang Festival Layang-layang Antarabangsa ke-14 yang berlangsung di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang sejak kelmarin, semakin hangat dengan ketibaan 38 pelayang dari beberapa daerah di China, di Lapangan Terbang Sultan Ismail, (LTSI), Senai, semalam.Kontinjen yang sinonim dengan layang-layang tradisi berbentuk naga dan unggas itu tiba di Balai Ketibaan LTSI kira-kira jam 8.30 pagi dan disambut meriah dengan persembahan tarian ‘Dia Datang’ dan tarian naga oleh penari yang dibawa khas Majlis Tindakan Pelancongan Johor (MTPJ).Timbalan Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Hussin Harun, berkata festival tahun ini mengetengahkan kehebatan ramai pelayang antarabangsa termasuk peserta terhandal dari Weifang sebagai tarikan dan pesaing utama.“Kontinjen China antara negara terpilih mengadakan persembahan khas pada festival tahun ini.
“Penekanan utama mereka dari aspek pertunjukan bagi menarik lebih ramai pengunjung selain menambah saingan di peringkat nasional,” katanya.
Menurutnya, Weifang, Shen Zhen, Xiemen, Yantai dan Tian Jin antara daerah di China popular dengan permainan layang-layang.“Daerah Weifang paling masyhur dengan sejarah dan perkembangan layang-layang hingga mendapat jolokan ‘Bandar Raya Layang-layang’.“Malah, kedatangan mereka ke festival ini bertambah setiap tahun sekali gus menjadi pesaing sengit kepada Australia, New Zealand, Jepun, Perancis, Jerman, India, Amerika Syarikat (AS), England serta negara Asean lain,” katanya.Festival tahun ini dijangka lebih meriah dengan pelbagai layang-layang berwarna-warni hasil kreativiti lebih 700 pelayang tempatan dan 200 pelayang antarabangsa dari 28 negara.Bertemakan ‘Layang-Layang Merintis Keamanan’, festival tahunan paling meriah dan berprestij itu diadakan bertujuan melestarikan permainan tradisional di samping menarik kehadiran ribuan pelancong menyaksikan aneka layang-layang hasil imiginasi pelayang seluruh dunia.Acara rasmi dalam kalendar Pelancongan Johor itu anjuran bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Johor Corporation dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor, Persatuan Pelayang Johor, Jabatan Kebudayaan, Kesenian & Warisan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Majlis Pelayang Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan