Selasa, 27 Januari 2009

Rumah boleh siap seminggu



nizam.yatim@utusan.com.my



ABDUL Aziz Muhamad (tengah) bersama James Lim Theam Aik (kiri) dan Gary Choong memegang serpihan kayu selepas majlis perasmian Pameran Antarabangsa IBS Malaysia 2009 di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 26 Jan. - Jika selama ini sebuah rumah cuma disiapkan dalam tempoh sebulan, kini ia boleh dipercepatkan kepada seminggu menggunakan kaedah baru ciptaan syarikat bumiputera tempatan.
Ia dilakukan dengan cara menggunakan campuran simen dengan serat batang pokok kelampaian dan telinga gajah.
Menerusi kaedah itu, bahan berkenaan akan terlebih dahulu dicampur di kilang dan dibuat dalam bentuk kepingan mengikut kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebelum dihantar ke tapak pembinaan untuk dipasang.
Ketua Pegawai Eksekutif Duralite (M) Sdn. Bhd., Datuk Dr. Abdul Aziz Muhamad berkata, pihaknya memilih serat kelampaian dan telinga gajah yang banyak terdapat di Kelantan bagi memastikan harganya lebih murah.
"Campuran dalam bentuk kepingan ini amat ringan dan senang dipotong serta sesuai digunakan untuk semua bahagian bangunan termasuk dinding dan bumbung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Syarikat yang mempunyai kilang di Kampung Mentera, Gua Musang, Kelantan itu menyertai Pameran Antarabangsa IBS Malaysia 2009 selama tiga hari yang berakhir Jumaat lepas di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini.
IBS merupakan sistem pembinaan yang menggunakan teknik, produk dan komponen yang disediakan di luar tapak, dan dipasang di tapak binaan. Ia berintensifkan teknologi mekanisme dan automasi.
Abdul Aziz yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjelaskan, kelebihan menggunakan bahan berkenaan ialah ia tidak menyerapkan haba sekali gus membolehkan rumah sentiasa dalam keadaan sejuk walaupun ketika cuaca panas.
"Ia juga menyerap bunyi dan mempunyai daya ketahanan tinggi daripada kepanasan serta tidak mudah terbakar," katanya.
Menurut beliau, antara projek pembinaan yang telah menggunakan produk yang dikeluarkan oleh syarikat bumiputera itu ialah Sri Ledang di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dan Masjid Taman Harmonis, Gombak.
"Para pelanggan memuji produk ini kerana ia mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangan anai- anai dan kulat.
"Kita berharap lebih banyak pihak menggunakan produk ini bagi mengurangkan penggantungan kepada bahan binaan import," ujarnya.

Tiada ulasan: