BUKIT SENTOSA – Masyarakat disarankan supaya mengubah sikap kepada lebih positif dan mengutamakan aspek kebersihan dalam kehidupan seharian. Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Mohd Nashruddin Abd Aziz berkata, bersempena dengan kehadiran tahun baru Hijrah dan Masihi kali ini, usaha memupuk sikap ke arah lebih positif terhadap aspek kebersihan dapat dilakukan. “Kita menyeru kepada semua masyarakat khususnya di daerah ini supaya sama-sama mengutamakan aspek kebersihan dalam segala perkara yang dilakukan. “Melalui perubahan itu kita percaya pada masa akan datang masyarakat akan lebih bersih dan sihat ditambah dengan persekitaran yang lebih indah serta selamat,” katanya ketika berucap merasmikan program Gotong-Royong Perdana anjuran MDHS di sini, semalam. Program Gotong-Royong Perdana itu dilakukan di Tapak Pasar Malam MDHS dan meliputi kawasan sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung. Gotong-royong tersebut melibatkan semua agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta turut dihadiri oleh pengerusi-pengerusi persatuan penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Program serupa turut dilaksanakan di semua peringkat di Selangor melibatkan seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap kawasan di negeri ini. Mohd Nashruddin berkata, semangat gotong-royong dan menitikberatkan aspek kebersihan perlu diterapkan sepenuhnya dalam kehidupan seharian. Katanya, jika tidak ia hanya menjadi seperti suatu pesta dan berakhir setelah semuanya selesai bergotong-royong. “Ini bukan matlamat kita. Apa yang diharapkan daripada program ini supaya semua masyarakat sama-sama menilai aspek kebersihan dari pelbagai sudut sehingga melaluinya kita dapat menjaga kesihatan dalam masa yang sama membentuk persekitaran yang sihat dan bersih,” katanya. Beliau juga berharap agar jawatankuasa penduduk (JKP) yang hadir pada program itu membawa mesej yang diperoleh ke kawasan masing-masing agar ia dapat dilaksanakan di tempat sendiri. Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam MDHS, Junainah Abdullah ketika ditemui berkata, beliau agak terkilan dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk termasuk peniaga pasar malam di kawasan terbabit. Menurutnya, hanya wakil penduduk sahaja yang hadir pada program yang sebenarnya disusun untuk kepentingan penduduk. “Penglibatan penduduk kurang memuaskan dan daripada pengamatan kita hanya pengerusi JKP dan KRT sahaja yang hadir pada hari ini (semalam). “Sikap yang ditunjukkan oleh penduduk di sini adalah kurang sihat dan mereka tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab menjaga kebersihan ini hanya kepada kontraktor atau MDHS sebaliknya ini adalah tanggungjawab bersama,” katanya. Justeru, beliau menasihatkan kepada seluruh penduduk supaya lebih prihatin dan mementingkan aspek kebersihan bersama serta tidak meletakkan tugas itu kepada pihak berkuasa semata-mata. Pada program tersebut juga penguat kuasa MDHS turut memberi notis kepada peniaga yang mengabaikan aspek kebersihan. Dalam pada itu, MDHS akan juga mengadakan Majlis Bertemu Pelanggan pada 30 Januari ini bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari bertempat di perkarangan pejabatnya. Orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi menyuarakan segala permasalahan yang berbangkit atau segala perkara berkaitan di kawasan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan