Ahad, 28 Disember 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1430



1430 tahun yang lalu, perjalanan dari Gua Thur, Quba dan Madinah oleh Nabi Muhammad SAW telah memulakan peristiwa Hijrah. Seterusnya membina kota Madinah sebagai pusat pentadbiran Islam yang pertama. Dalam misi Hijrah ini, Nabi Muhammad SAW diuji dengan berbagai-bagai cabaran. Puak musyrikin Quraisy memburu untuk membunuh baginda Nabi dan bagi menghalang dakwah Islam diteruskan.
Abu Karz (ahli jejak Quraisy) yang terkenal telah menjejak baginda Nabi sampai ke Gua Thur. "Nampaknya Muhammad SAW berniat datang ke tempat ini. Mungkin dia bersembunyi di dalam gua" kata Abu Karz setelah menjejaki kaki baginda Nabi hingga ke Gua Thur. Abu Karz menyuruh seseorang memasuki pintu gua. Tatkala orang itu masuk, dia melihat mulut gua itu penuh dengan sarang labah-labah dan burung merpati bertelur di luar gua. Orang itu kembali dan mengatakan kepada Abu Karz, "Ada sarang labah-labah di mulut gua, Ini menunjukkan tidak ada orang di sana". Puak Quraisy seterusnya putus asa setelah dua hari tiga malam memburu baginda Nabi SAW.
Selepas itu, ada seorang lagi yang bernama Suraqah bin Malik yang memacu kuda untuk membunuh baginda Nabi SAW, tiba-tiba kuda Suraqah terjatuh. Kudanya melemparkan Suraqah ke tanah. Suraqah kemudian sedar bahawa kejadian itu berlaku kerana niat jahatnya untuk membunuh baginda Nabi SAW. Selepas itu, Suraqah mengadap baginda Nabi SAW dengan wajah yang sayu dan menyatakan "saya serahkan hamba dan kuda saya kepada tuan dan saya bersedia melakukan apa sahaja yang tuan kehendaki". Kemudian, jawab baginda Nabi SAW "Saya tidak mengkehendaki apa-apa daripada kamu". Menurut pandangan Al-Alamah Majilisi, Nabi SAW menyatakan "Kembalilah dan yakinlah kepada yang lain supaya tidak memburu kami". Oleh itu, kepada sesiapa sahaja yang dijumpai oleh Suraqah selepas itu, dia akan berkata "Tidak ada jejak Muhammad di laluan ini".
Cerita ini memberi seribu satu pengajaran kepada kita sebagai umat Islam. Sebagai umat Nabi SAW kita memang diuji dengan pelbagai dugaan. Islam dikatakan sebagai teorrist, dihina oleh pihak-pihak tertentu dan hak-hak orang Islam pun semakin hari semakin dihakis. Malah ada juga blog yang telah secara terbuka menghina baginda Nabi SAW. Dulu ada puak musyrikin Quraisy yang ingin membunuh baginda Nabi SAW, hari ini ada pula blog yang ingin memburuk-burukkan baginda Nabi SAW.
Moga orang itu akan mendapat pengajaran seperti Suraqah. Salam Maal Hijdah 1430.
Amin.
SAS

Tiada ulasan: