Ahad, 21 Disember 2008

Bayaran cukai taksiran Hulu Selangor tidak sepadan

Saudara Pengarang,

PERSOALAN yang saya ingin kemukakan di sini ialah mengapa saya perlu bayar cukai taksiran jika di kawasan saya tinggal di Bandar Baru Bukit Sentosa/Bukit Beruntung yang terletak di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) masih menghadapi pelbagai masalah dan kekurangan kemudahan asas yang tidak diambil endah?

Masalahnya seperti berikut:
* Jadual kutipan sampah tidak menentu dan kemudahan tong-tong sampah di tengah-tengah pusat `bandar' tidak disediakan.
* Longkang pula tersumbat, kotor dan ditumbuhi semak samun. Pokok pisang pun ada yang tumbuh dalam longkang, batu-batan dan sebagainya.
* Semak-samun dan lalang tumbuh di kawasan rumah dan kilang di samping kedai pejabat yang kosong dan terbiar menyebabkan timbul pula masalah tikus, nyamuk, anai-anai dan ular .
* Tiada kemudahan perkhidmatan telefon talian tetap dan kemudahan telefon awam.
* Lampu jalan rosak/tidak berfungsi yang masih belum dibaiki.
* Sebahagian jalan-jalan utama berlubang dan tidak berturap menyebabkan air bertakung di atas jalan.
* Papan tanda arah jalan tidak sempurna dari segi saiz dan lokasi menyebabkan selalu berlaku lalu lintas bersimpang siur. Tulisan yang menggunakan saiz yang kecil (tidak begitu sesuai untuk sebuah papan tanda arah jalan).
* Penjaja-penjaja haram bertaburan di merata-rata tempat termasuk beroperasi di kawasan rumah dan di bahu-bahu jalan.
* Ketiadaan balai raya/dewan masyarakat untuk penduduk berinteraksi.
* Tiada masjid/surau yang sempurna - hanya rumah wakaf yang dijadikan sebagai surau. Sepengetahuan saya terdapat tiga buah rumah penduduk yang dijadikan surau dan satu surau sementara yang dibina oleh penduduk daripada sisa-sisa buangan construction dan juga hasil derma orang ramai. Keadaan bangunannya amat daif untuk dipanggil `surau'.
* Taman permainan kanak-kanak yang tidak terurus. Kawasan rekreasi untuk penduduk sekeluarga beristirahat di hujung minggu atau melakukan aktiviti sukan/beriadah tidak mencukupi.
* Tiada asas landskap dan pokok-pokok yang sesuai sama ada di kiri kanan bahu jalan/pembahagi jalan atau di taman permainan kanak-kanak.
* Anjing liar dan anjing peliharaan berkeliaran dan mengotorkan kawasan.
* ``Terminal'' bas yang seumpama pondok bas sahaja.
* Kemudahan perkhidmatan perbankan dan urusan pos juga tiada. Saya dan mungkin penduduk lain terpaksa ke Pusat Bandar Rawang (di bawah Majlis Perbandaran Selayang) untuk membuat urusan perbankan dan pos.
* Penamaan jalan yang mengelirukan serta berulang-ulang di beberapa kawasan dan juga tidak lengkap perlu ditukar dan dikemaskinikan. - MUJI, Rawang, Selangor.

sas: siapa nak jawab..

Tiada ulasan: