Khamis, 25 Disember 2008

Agensi Pantau Pembangunan Cerun Bukit....Cadangan bagus

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Sebuah agensi pengawalan bebas perlu diadakan bagi memantau pembangunan di cerun bukit di negara ini, kata Presiden Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (Mset) Datuk Abang Abdullah Abang Ali hari ini.Beliau berkata agensi ini mestilah mampu menangani bencana ini daripada berlaku dan diberikan kuasa yang mencukupi bagi memastikan penguatkuasaan pemantauan dan penyelengaraan cerun yang berisiko tinggi.Agensi ini sama seperti di Hong Kong dengan kuasa-kuasa yang perlu bagi memastikan pembangunan cerun direka, dibina dengan baik serta yang paling penting ialah penyelenggaraan, katanya dalam kenyataan di sini, Rabu."Kini terlalu banyak kementerian dan agensi dalam kementerian atau kerajaan negeri terbabit apabila bencana tanah runtuh berlaku. Ramai yang menuding jari antara satu sama lain serta pengisytiharan kekebalan daripada pendakwaan," tegas beliau.Abang Abdullah berkata demikian bagi melahirkan rasa kebimbangannya mengenai bilangan kes tanah runtuh yang berlaku mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda di negara ini.Beliau berkata jika berlakunya bencana tanah runtuh, khidmat mencari dan menyelamat (SAR) mestilah ada kepakaran teknikal yang bersesuaian untuk mengendalikan keadaan ini bagi memastikan operasi menyelamat dijalankan dengan selamat dan berjalan lancar.Mset sebuah badan profesional yang ditubuhkan baru-baru ini untuk menyelamat dan mengekalkan pembangunan aset tanah di negara ini, menggesa penyelesaian profesional dan holistik bagi isu bencana tanah runtuh untuk jangka panjang.Ia juga mencadangkan satu dasar dan garis panduan nasional yang jelas dan diwajibkan mengenai pembangunan cerun bukit.-- BERNAMA

Tiada ulasan: