Jumaat, 13 Februari 2015
TG NIK AZIZ MENINGGALKAN KITA....
KOTA BHARU 12 Feb. - Negara kehilangan seorang tokoh politik dan ulama yang berpengaruh apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka di sini kira-kira pukul 9.40 malam ini.
Bekas Menteri Besar yang disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak beberapa tahun lalu itu telah dibawa pulang ke rumahnya sejam sebelum itu selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 20 Januari lalu.
Anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh berkata, seluruh ahli keluarga berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.
“Ayahanda meninggal dunia di sisi seluruh kaum keluarga pada pukul 9.40 malam. Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan arwah ayahanda,” katanya dalam sidang akhbar ringkas di pekarangan rumahnya di sini malam ini.
Sementara itu, dalam laman sosial Facebooknya, Nik Mohamad Abduh mengumumkan solat jenazah ayahnya akan diadakan pada pukul 10 pagi esok di Masjid Tok Guru berhampiran rumahnya di Pulau Melaka di sini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin datang menziarahi jenazah ayahnya supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Semoga perjalanan tuan puan dari jauh dan dekat diberkati oleh Allah. Harap patuhi segala arahan bagi mengekalkan keselesaan buat semua dan perjalanan ayahanda menuju Tuhannya,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa pemimpin utama Pas negeri ini seperti Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut berada di rumah Allahyarham.
Malah ribuan orang telah memenuhi pekarangan rumah tersebut dan jalan untuk masuk ke Pulau Melaka sesak.
Pada 20 Januari lalu, akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz telah dimasukkan ke ICU HUSM dan berada dalam keadaan separa kritikal namun keadannya dikatakan agak stabil pada minggu lalu.
Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Guru telah mengikuti rawatan kemoterapi untuk mengubati kanser tersebut sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Beliau yang melepaskan jawatan Menteri Besar pada 6 Mei 2013 turut mendedahkan mengenai penyakit yang dihadapinya dalam temubual eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada awal tahun lalu.
Nik Abdul Aziz yang mula menjadi wakil rakyat selepas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang dikenali Pengkalan Chepa) pada tahun 1967 dan mengekalkan kerusi tersebut sehingga beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri pada tahun 1986 sehingga sekarang.
Sepanjang pentadbirannya sebagai Menteri Besar selama 23 tahun sejak 1990, beliau memperkenalkan sistem pentadbiran Islam malah telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) atau hukum hudud untuk dilaksanakan di negeri ini.
Selasa, 10 Februari 2015
PERJUANGAN DI TERUSKAN - DS ANWAR
PETALING JAYA, 9 FEB: Walaupun menghadapi risiko dipenjarakan, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yakin perjuangan Pakatan Rakyat akan terus menyala tanpanya. “Pilihan untuk saya duduk diam ada, tapi saya tidak pilih itu. Saya tidak bersalah, saya akan terus lawan,” tegas Anwar. Difahamkan Anwar Ibrahim telah mendapat tawaran Turki dan United Kingdom untuk tinggal di sana bagi mengelak dirinya dipenjarakan oleh institusi yang disifatkan negara itu mempunyai campur tangan kerajaan. “Mereka pujuk saya, tahukah anda kenapa? “Ini kerana mereka tahu institusi kita ada masalah,” beritahu Anwar. Dalam ucapannya Anwar berkata, Malaysia sedang menghadapi masalah perkauman dan ketegangan agama yang meruncing di bawah pemerintahan setengah abad Barisan Nasional. “Adakah kita mahu Malaysia ada Taliban, ISIS dan Boko Haram yang guna agama untuk laksana kezaliman? “Hanya dengan keharmonian agama dan kaum saja dapat selamatkan Malaysia, semua agama (bertanggungjawab) selamatkan Malaysia dari korupsi UMNO,” ujar beliau sambil dipersetujui hadirin. Justeru itu, Anwar berkata menjadi komitmen seluruh rakyat untuk ubah sistem bobrok di bawah UMNO. “Kalau harga perjuangan ini adalah penjara, saya bersedia dipenjarakan. “Ini sebenarnya hanya sedikit saja pengorbanan yang saya lakukan. “Tidak ada apa yang dapat halang saya walau kerajaan guna institusi untuk penjara saya dan pimpinan pembangkang yang lain. “Saya sanggup terima apa saja untuk sebuah kebebasan,” katanya penuh semangat. Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
Langgan:
Catatan (Atom)