Sabtu, 5 Disember 2009

RM6 juta diperuntukan untuk membaikpulih rumah rakyat Selangor

KAJANG – Sebanyak 268 rumah rakyat di sekitar negeri Selangor telah dibaik pulih dan dibina semula dengan melibatkan peruntukan RM6 juta di bawah program Kerajaan Prihatin Negeri Selangor 2009. 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar berkata, 146 daripada angka itu hanya melibatkan kerja baik pulih manakala 122 adalah membina semula. 
Menurutnya, dalam melaksanakan pembinaan semula, kebiasaannya mereka akan menghadapi masalah kerana pemilik rumah tidak mempunyai tanah sendiri bagi tujuan itu dan ia menyukarkan pemprosesan. 
“Fenomena tersebut banyak berlaku di sekitar daerah Sabak Bernam, Kuala Langat dan Hulu Langat, jadi satu mekanisme perlu dicari bagi menyelesaikan masalah dihadapi pemohon berkaitan dengan tanah. 
“Bagi mengatasi masalah penduduk yang tidak mempunyai tanah sendiri, maka Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pejabat tanah bagi mengenal pasti tanah kosong yang tidak digunakan untuk membina rumah pemohon,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada Hasnah Abd Aziz di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, semalam. 
Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Angkat Semenyih berkata, bukan sahaja masalah tidak mempunyai tanah tetapi ada di antara pemohon itu mempunyai tanah di atas tanah rizab dan ia juga menyukarkan pemprosesan dilaksanakan.

Tiada ulasan: