Khamis, 27 September 2018

ANWAR PERLU JADI PM KE 8 - KHAIRY JAMALIDDIN

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia perlu fokus terhadap peralihan generasi dalam politik selepas era kepemimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, negara mempunyai ramai pemimpin muda berbakat dan kemunculan generasi baharu ahli politik akan memberi isyarat kepada perubahan politik di Malaysia.


“Tun Mahathir adalah seorang yang hebat tetapi dia berusia 93 tahun, saya fikir beliau akan berkhidmat selagi kesihatannya mengizinkan. Anwar perlu menjadi perdana menteri selepas itu kerana jika tidak, kita tidak akan ada kesudahan.

“Saya fikir Anwar bakal menjadi perdana menteri tetapi saya fikir kita perlu memberi tumpuan terhadap Malaysia, pasca Tun Mahathir dan pasca Anwar,” katanya pada forum 'Majlis Sepetang bersama Profesor K.S. Jomo dan Khairy Jamaluddin: Hala Tuju Malaysia’ anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia di sini, malam ini.

Ahli Parliamen Rembau itu berkata, peralihan generasi akan menjadi lebih jelas selepas Anwar menjadi perdana menteri.

Khairy menegaskan bahawa untuk empat tahun akan datang, kedua-dua PH dan BN harus mengetepikan politik remeh dan bekerjasama ke arah melaksanakan perubahan institusi dalam negara.

Dalam perkembangan lain, Khairy mengulangi bahawa beliau tidak akan keluar daripada Umno sambil menambah bahawa beliau bercadang bertanding jawatan presiden pada 2021 jika parti itu masih wujud ketika itu.

Menurutnya, berdasarkan undi popular pada pemilihan jawatan presiden Jun lalu, majoriti anggota Umno bersetuju untuk pembaharuan.

Sementara itu, Prof Jomo berkata, terdapat keperluan bagi kerajaan semasa untuk menangani sistem pembiayaan politik yang merosot di negara ini.

Beliau, yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan, berkata isu tersebut harus menjadi keazaman politik utama kepada kerajaan.

“Adalah penting untuk menyedari bahawa kita mempunyai sistem pembiayaan politik yang amat disalah gunakan sehingga kita tidak boleh keluar melainkan kita membangunkan sebuah sistem pembiayaan politik yang sah, bertanggungjawab dan telus,” katanya. - Bernama





Rabu, 26 September 2018

DR HASNITA DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI MARA YG BARU

Dr Hasnita dilantik Pengerusi MARA
PUTRAJAYA: Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd (MAMG), Dr Hasnita Hashim, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baru berkuatkuasa 1 Oktober ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, Dr Hasnita berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Nuklear Fizik dari Oxford University dan berpengalaman 26 tahun dalam pengurusan kewangan global selain pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Guidance Investments, sebuah anak syarikat Guidance Financial Group.
“Beliau memulakan kerjaya di Coopers & Lybrand Deloitte, London sebagai seorang aktuari dan beliau juga adalah ahli Institute of Actuaries.
“Kini, beliau adalah Pengerusi MAMG dan juga ahli lembaga pengarah Maybank Banking Bhd (Maybank),” katanya.
Selain itu, Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan enam ahli majlis MARA yang baru iaitu Rektor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Urusan MYDIN Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin.
Ahli majlis MARA yang lain termasuk Pengerusi Mayban Life Assurance Bhd, Datuk Syed Tamin Ansari Syed Mohamed; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd (AMB), Zakri Khir.

ROSMAH DI PANGGIL SPRM LAGI PAGI INI

Datin Seri Rosmah Mansor tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tiga bulan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu dipanggil ke SPRM untuk soal siasat.

Berbaju kurung hijau, beliau tiba bersama seorang pembantu pada kira-kira pukul 9.50 pagi.

Beliau kelihatan tersenyum dan malah sempat berbual-bual dengan pegawai SPRM yang menunggunya di lobi.

Khabar angin kuat bertiup bahawa beliau mungkin ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah esok.

Ketika ditanya tentang perkara itu, peguamnya Datuk K Kumaraendran berkata beliau tidak tahu-menahu tentang perkara itu.Bagaimanapun, ketika dihubungi, timbalan pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki menafikan Rosmah akan ditahan dan didakwa.

"itu tidak betul," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Pada 5 Jun lalu, Rosmah dipanggil buat kali pertama dan disoal siasat selama lima jam bagi membantu siasatan terhadap bekas subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

DS ANWAR GEMBIRA JIKA TIADA PERTANDINGAN - KEADILAN DAILY

Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan keputusan Umno untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang akan bermula Sabtu ini.
“Saya sambut baik sesiapa yang tidak bertanding, tentulah saya alu-alukan persaingan. Tetapi saya lebih gembira jika tiada pertandingan.
“Jika Umno tidak bertanding itu OK tetapi saya masih perlu berdepan calon-calon Bebas,” katanya kepada pemberita di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, hari ini.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan memboikot PRK Port Dickson.
Boikot itu berlangsung selepas pembangkang kalah tiga kali berturut-turut dalam tiga PRK sebelum ini. 
Sehingga kini hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM), seorang bekas pemimpin MIC dan seorang ‘influencer’ Twitter mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam PRK Port Dickson. 
PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan, bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

DS ANWAR, JPP BERFUNGSI MEMUASKAN SETAKAT INI

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seruan agar tindakan diambil terhadap Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan JPP berhubung isu yang timbul dalam pemilihan PKR.
Anwar berkata, gesaan agar tindakan diambil tidak dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR semalam namun beliau sedar tentang kritikan terhadap Saifuddin dan JPP.
"Ini negara demokrasi. Mereka boleh (kritik). Tetapi jika mereka langgar peraturan atau melanggar disiplin (parti), saya perlu ingatkan mereka. Tiada siapa akan terlepas, termasuk pemimpin utama. Mereka perlu hormat peraturan tertentu.
"(Anggota) JPP bukan ditentukan oleh saya. Saya di penjara ketika itu. Ia ditetapkan pimpinan parti," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat itu di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.
Belaiu mengakui wujud kelemahan dalam pemilihan hujung minggu lalu dan memaklumkan JPP telah diminta untuk menjelaskan tindakan mereka kepada biro politik, yang kemudiannya menerima penjelasan itu.
"JPP diminta untuk beri penjelasan dan buat pengubahsuaian yang perlu. (Juruaudit) Baker Tilly (Malaysia) ada bersama untuk membantu proses.
"Jadi tiada keperluan misalnya untuk pemimpin parti yang agak tidak berpuas hati untuk mula menyerang jawatankuasa pemilihan kerana mereka menggalas tugas itu secara sukarela.
"Dan mereka secara umumnya melaksanakan tugas itu secara memuaskan," katanya lagi.
Amaran kepada pemimpin
Pemilihan PKR 2018 bermula dengan buruk hujung minggu lalu, dengan kekecohan berlaku di beberapa pusat mengundi dan pengundian di empat negeri ditangguhkan.
Ramai anggota menyatakan kegagalan sistem undi elektronik dan merungut nama mereka hilang daripada data pengundi.
Calon ketua wanita Haniza Talha dan calon ketua pemuda Dr Afif Bahardin meletakkan kesalahan itu kepada Saifuddin.
Pada Isnin lalu, Saifuddin menyangkal kritikan terhadapnya dan berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP), yang mewujudkan JPP, juga perlu berkongsi tanggungjawab terhadap kelemahan dalam proses pemilihan.
"Berdasarkan laporan (yang diterima biro politik), pemilihan berjalan dengan baik. Beberapa tablet tidak berfungsi...Ada kelemahan di Kedah," kata Anwar