Jumaat, 25 Disember 2009

DK HASAN ALI - SELANGOR MASIH BERUSAHA MENGAMBILALIH KONSESI AIR

RAWANG – Kerajaan Negeri masih meneruskan usaha dalam mengambil alih konsesi air di negeri ini. 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Ali berkata, Kerajaan Negeri kekal aktif menguruskan perkara itu. 
“Usaha Kerajaan Negeri masih diteruskan untuk mengambil alih konsesi air di negeri ini, cuma formulanya saja yang masih tidak diperoleh. 
“Proses semakin aktif dan usaha ini tetap diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian ketika mempengerusikan dialog berhubung masalah gangguan bekalan air di Rawang Perdana di sini. 
Dialog itu turut dihadiri wakil penduduk, serta Pengurus Besar Kanan Bahagian Wilayah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Ismail Rusmin dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Othman Idris. 
Dr Hasan berkata, pengambilalihan konsesi itu daripada Syabas dianggap mampu menyelesaikan masalah selain menjayakan program penstrukturan air di negeri ini. 
Dalam pada itu, ketika menjelaskan masalah dihadapi penduduk berhubung gangguan bekalan air melibatkan lima kawasan di Rawang Perdana, Dr Hasan berkata, rundingan bersama Syabas aktif dijalankan. 
“Kerajaan Negeri tak mahu tangguh lama-lama kerana semakin cepat diselesaikan, maka akan beri keuntungan kepada rakyat. 
“Rundingan ini juga mampu mempercepatkan program penstrukturan semula air di Selangor,” katanya. 
Ditanya adakah jaminan tempoh masalah itu akan berakhir, beliau berkata, pada hakikatnya tidak ada pihak yang sengaja melambatkan usaha berkenaan kerana semua pihak akan menanggung kerugian termasuk rakyat. 
Bagaimanapun, katanya, sudah ada formula yang mempersetujui Kerajaan Negeri, tetapi perbincangan dengan Kerajaan Pusat masih tidak dapat membuat keputusan penyelesaian konkrit. 
Sinar Harian sebelum ini mendedahkan laporan mengenai masalah gangguan bekalan air di Rawang Perdana dan Syabas dalam kenyataan balas menjelaskan masalah sebenar dihadapi menyebabkan gangguan itu tidak dapat diatasi. 
Sementara itu, Ismail berkata, Syabas menjelaskan mengenai perkara itu dan usaha yang mampu dilakukan hanya dengan melaksanakan kerja pembersihan paip utama. 
“Syabas menyedari masalah yang dihadapi penduduk di sini ekoran berlakunya paip pecah dan bocor yang disebabkan oleh paip utamanya yang sudah lama tidak diganti. 
“Kita melaksanakan Program Penggantian Paip Lama sebelum ini melibatkan kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun terpaksa dihentikan disebabkan tanggungan kos yang tinggi. 
“Bagaimanapun, Syabas bertanggungjawab dalam mengurangkan masalah ini ke tahap minima dan kita melaksanakan kerja pembersihan paip bagi mengatasi masalah air kotor dan tekanan air rendah,” katanya.

Tiada ulasan: