Sabtu, 15 Ogos 2009

“Salam Rakyat” Prihatin Kebajikan Rakyat Sepang

SEPANG, 14 Ogos - Hari ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turun padang menemui rakyat daerah Sepang bersempena program Salam Rakyat di Dewan Orang Ramai, Sungai Pelek.
Salam Rakyat ini merupakan siri lawatan Menteri Besar turun padang yang pertama ke setiap daerah di seluruh Selangor yang bermula di Sepang.
Program satu hari itu, merangkumi dua sesi yang yang didahului dengan sesi dialog bersama rakyat di Bandar Baru Salak Tinggi pada sebelah pagi.
Manakala pada sesi petang, Abdul Khalid menghadiri sesi taklimat program SPIES dan majlis penyampaian sumbangan kepada warga emas orang Asli, ibu tunggal, OKU, anak-anak yatim dan penduduk miskin di Dewan Orang Ramai Sungai Pelek.
“Saya rasa bertuah terima kasih banyak-banyak, kalau dapat biarlah kalau apa-apa tuhan jodohkan sebab kita selalu pun tak apa lah saya susah. Bantuan kali pertama saya dapat Alhamdulillah, sebelum ni tak ada, masa Barisan Nasional, dulu adalah, tapi sudah kalah tak boleh cakap ape lah, kita pun alu-alukan siapa-siapa yang anu kita pun anu juga lah”, kata Tamin Naim kepada ketika pemberita selepas menerima sumbangan hamper, petang tadi.
Melalui program sebegini, rakyat Selangor dapat mengenali pemimpin mereka dengan lebih dekat lagi sekaligus dapat menerima maklum balas dan mengetahui permasalahan rakyat negeri ini.
Menurut Abdul Khalid, beliau bercadang untuk mempergiatkan usaha kebajikan dan pendidikan khususnya penduduk Sepang pada masa hadapan.
“Saya rasa banyak lagi yang perlu saya lakukan supaya saya dapat mengenal masyarakat dan bagaimana lagi banyak program-program kebajikan dan pendidikan yang boleh dilakukan di daerah-daerah ini”, kata Abdul Khalid ketika berucap merasmikan program Salam Rakyat di Dewan Orang Ramai, Sungai Pelek, Sepang.
Ini berikutan Sepang sebelum ini sudah banyak menerima pembangunan dan pembaharuan infrastrukturnya seperti pembinaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Litar Sepang F1 dan sebagainya.
Justeru, Abdul Khalid tidak mahu rakyat di daerah itu ketinggalan daripada menikmati pembangunan tersebut yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, sedikit banyak boleh mengubah gaya hidup mereka kelak.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Yang Dipertua Majlis Daerah Sepang, Azizan Mohamad Sidim dan Pegawai Daerah Sepang, Mohd Amin Ahmad Ahya

Tiada ulasan: