Ahad, 26 April 2009

Penduduk Bkt Beruntung lega, kerajaan selesai bil TNB ....


SHAH ALAM, 24 April - Penduduk perumahan Bandar Bukit Beruntung dan Taman Bukit Sentosa hari ini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan Selangor hari ini tampil menyelesaikan sebahagian bil tertunggak pemaju kepada syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Penyerahan replika cek bernilai RM38,500 disampaikan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali kepada wakil TNB di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, pagi tadi.
Dato’ Dr Hasan ketika ditemui pemberita berkata penyerahan cek tersebut adalah sebahagian daripada bayaran tunggakan oleh kerajaan akibat kegagalan pemaju kawasan perumahan terbabit menjelaskan bayaran bil lampu jalan di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.
“Kira-kira 80,000 orang penduduk di kawasan itu hidup dalam kegelapan sejak Januari lalu disebabkan tunggakan bil yang bertahun-tahun tidak dibayar,” katanya memberitahu yang perkara itu juga telah menimbulkan kegusaran di kalangan penduduk terbabit.
Dalam pertemuan pagi tadi, wakil TNB berjanji akan memulakan kerja-kerja pemulihan lampu-lampu jalan kawasan terbabit malam ini secara berperingkat-peringkat.
Mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri menyelesaikan sebahagian bil tunggakan itu, beliau berkata ianya berpandukan kepada cadangan-cadangan yang diberikan oleh Majlis Daerah dan ianya dikemukakan dalam mesyuarat Exco dua minggu lalu.
“Kertas cadangan ini telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan beberapa tindakan telah diambil iaitu mengadakan rundingan dengan pihak-pihak pemaju, TNB dan dengan agensi kerajaan seperti majlis daerah serta pejabat tanah,” katanya.
Menurut beliau selain tunggakan yang dibuat hari ini, kerajaan negeri juga akan menjadi pemantau dalam rundingan di antara pihak TNB dengan pemaju bagi menyelesaikan bil tunggakan yang lebih besar iaitu berjumlah RM400,000.00.
“Hal ini telah diputuskan dalam mesyuarat Exco dengan membuat satu rundingan yang lebih lanjut di antara pihak TNB dengan pemaju dan kerajaan negeri akan menjadi pemantau bagi rundingan ini supaya ia tidak merugikan mana-mana pihak,” katanya yang berharap satu keputusan dapat dicapai dan keputusan itu nanti akan dapat memberi kegembiraan kepada penduduk. -
BR: Macam nie la jika dapat pemaju yang lepas tangan, rakyat jadi mangsa, bernasib baik lah mempunyai kerajaan berperihatin seperti Pakatan Rakyat... walaupun dicemuh dan dikritik, dapat juga melaksanakan hutang untuk pemaju (dimana pergi anak syarikat Europlus dan Talam Corporation sekarang?)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Permulaan yang baik dpd kerajaan negeri. Terima kasih.
Banyak peluang untuk merapatkan silaturrahim (dan pembaharuan) dgn penduduk2 Bukit Beruntung. Banyak masalah yg ditinggalkan daripada yg pemaju. Kami penduduk BB mengalu2kan keperihatinan kerajaan negeri.
Terima kasih sekali lagi.

-Penduduk BB3, Seksyen 20-